Menurut BASARNAS, pihaknya masih belum dapat mengesahkan bilangan sebenar penumpang dan kru feri kayu tersebut, KM Sinar Bangun yang karam di Danau Toba, Pulau Sumatera sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan), Isnin lalu ketika angin kencang dan tasik bergelora.
Agensi berkenaan pada mulanya menyatakan, kira-kira 80 orang bersama puluhan motosikal memenuhi feri berkapasiti 43 penumpang itu apabila ia terbalik dan tenggelam.
Menjelang semalam, ang­ka rasmi mangsa hilang meningkat beberapa kali kepada 192 penumpang termasuk ramai kanak-kanak. Angka tersebut adalah berdasarkan laporan yang dibuat waris mangsa.
Setakat semalam juga, empat mayat ditemui dan 18 orang telah diselamatkan, demikian menurut BASARNAS.
Sementara itu, pasukan penyelam dan dron selam menyertai pencarian di Danau Toba semalam, manakala waris yang sedih berkumpul di pelabuhan kecil Tigaras untuk menanti sebarang berita.
Pasukan penyelamat menjangkakan dapat me­nemui lebih ramai mang­sa yang terperangkap di dalam feri tersebut sebaik sahaja mereka mengesan lokasi ia karam di dalam tasik Danau Toba sedalam 450 meter.
“Kami mempunyai koordinat di mana feri ini karam tetapi kami perlu mengesahkannya,” kata ketua BASARNAS di Medan, Budiawan.
Sebuah pasukan terdiri daripada 25 penyelam termasuk anggota marin bertungkus lumus mencari feri itu dengan dibantu kenderaan bawah air kawalan jauh (ROV).
“Bagaimanapun, dron ROV ini boleh beroperasi pada kedalaman 380 meter sahaja, manakala pencarian di permukaan tasik tidak berhasil,” jelas Budiawan.
Mempunyai keluasan 1,145 kilometer persegi, Danau Toba mengisi kawah sebuah gunung berapi gergasi yang meletus 75,000 tahun lalu dalam letusan yang disifatkan antara pa­ling kuat di dunia.
Tasik itu merupakan destinasi pelancongan popular, namun setakat ini, belum ada maklumat sama ada rakyat asing turut menjadi mangsa tragedi berkenaan.
Dalam pada itu, seorang jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, pihak kedutaan masih berusaha untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan mangsa terbabit dan memantau operasi dan menyelamat yang dilakukan pihak berkuasa Indonesia.
“Kedutaan memantau rapi operasi itu sekiranya ia turut membabitkan rakyat Malaysia,” kata jurucakap itu. – Reuters/ Bernama
Petikan: Kosmo Online