Breaking News

UiTM ke-158 terbaik Asia

ZUMURNI HAMZAH, 12 April 2018



MACHANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) melonjak 23 anak tangga menjadi universiti ke-158 terbaik seluruh Asia dalam senarai Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Ranking 2018.

Penarafan itu juga menyenaraikan UiTM antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia dengan mengambil kira terdapat kira-kira 11,900 universiti di seluruh Asia.

Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, antara penunjuk utama yang meningkat adalah reputasi majikan iaitu 55.7 markah pada tahun ini berbanding 44.8 pada tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini juga, UniRank turut mengiktiraf UiTM sebagai universiti keempat terbaik di Asia Tenggara dan pertama di Malaysia berdasarkan kepada populariti laman sesawang universiti.

“Penanda aras ini menunjukkan tahap kebolehpasaran tinggi graduan UiTM dan kepercayaan pihak industri bahawa graduan universiti ini berkualiti tinggi dengan memenuhi keperluan skil dan pengetahuan masa kini.

“UiTM sentiasa komited untuk menjadi sebuah universiti yang memiliki keilmuan yang tinggi, berintegriti, diyakini dan berdaya saing seiring dengan institusi pengajian lain di dalam dan luar negara," katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-88, UiTM Cawangan Kelantan, semalam.

Sumber: Sinar Harian

No comments