Pejabat Kebertanggungjawaban Kerajaan AS (GAO) berkata, Agensi Perlindungan Alam Sekitar melanggar peraturan apabila meluluskan peruntukan pondok telefon kalis bunyi berharga AS$43,000 (RM167,343) untuk Pegawai Tadbir, Scott Pruitt tahun lalu tanpa mendapatkan persetujuan Kongres.
Pejabat Ketua Inpektor Jabatan Dalam Negeri pula menyatakan Setiausaha Dalam Negeri, Ryan Zinke menaiki penerbangan sewa khas yang tidak perlu pada Jun 2017 yang membebankan wang pembayar cukai lebih AS$12,000 (RM46,700) selepas memberi ucapan kepada sebuah pasukan hoki profesional.
Laporan terbaharu itu dikemukakan ketika White House berusaha untuk meredakan kritikan berterusan wakil-wakil rakyat terhadap masalah etika dan pembaziran perbelanjaan oleh pegawai kanan Trump. Setiausaha Kesihatan, Tom Price didesak untuk meletak jawatan pada tahun lepas berhubung laporan beliau berbelanja mewah dalam menempah penerbangan.
Price dan Zinke merupakan antara pegawai Kabinet Trump yang paling produktif dan menjadi kunci kepada pelaksanaan dasar Presiden AS untuk meningkatkan pengeluaran tenaga dan eksport dengan menghapuskan peraturan alam sekitar di samping membuka tanah persekutuan untuk aktiviti cari gali minyak serta perlombongan. – Reuters