Breaking News

Honda Malaysia panggil balik 28,399 kereta tahun 2013

WARTAWAN SINAR HARIAN

HONDA Malaysia memanggil balik 28,399 unit kenderaan bagi empat model 2013 untuk mendapatkan penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata.
Dalam kenyataan media, Honda Malaysia berkata model yang terlibat adalah City iaitu sebanyak 14,944 unit, Jazz (6,874 unit), Jazz Hybrid ( 6,211) dan Insight (370).
Katanya, syarikat melanjutkan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pelanggan yang merupakan keutamaannya.

“Setakat Mac 2018, Honda Malaysia telah menyiapkan lebih 223,000 unit daripada 435,000 penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata.
“Kami menegaskan bahawa semua model yang sedang kami jual, tidak akan terjejas dan akan terus mendukung kawalan yang telus dan ketat bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan membabitkan inflator beg udara bahagian hadapan penumpang Takata, di negara ini.
Honda Malaysia berkata, syarikat akan memaklumkan kepada semua pelanggan yang terjejas melalui surat pemberitahuan termasuk perincian terkini produk tersebut.

“Pelanggan yang menerima surat ini digalakkan menghantar kenderaan mereka kepada pengedar Honda yang sah untuk membuat pemeriksaan dan penggantian secara percuma.
“Honda juga akan memastikan stok untuk penggantian inflator beg udara bahagian hadapan penumpang mencukupi selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan melalui hab bergerak, hab di stesen Petronas terpilih dan hab rantaian Honda,” katanya.

Mereka juga boleh memeriksa status tarik balik kenderaan dengan melayari www.honda.com. atau www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi Honda di talian bebas tol 1-800-88-2020.

Sumber berita: Sinar Harian Online

No comments