Breaking News

Isu persempadanan: Mahkamah tolak rayuan kerajaan Selangor

Gambar: Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan Selangor hari ini gagal untuk mencabar cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan semakan kehakimannya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa notis dan syor untuk mengkaji semula persempadanan pilihan raya di negeri itu, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman mengikut Aturan 53 Kaedah 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Hakim Ong yang membacakan penghakiman berkata panel hakim bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili SPR bahawa sidang yang lebih sesuai bagi bantahan aduan tersebut adalah melalui inkuiri tempatan mengikut Seksyen 5 Jadual Ke-13.

"Oleh itu, kami berpandangan bahawa sebarang tindakan oleh SPR berhubung aduan yang dikemukakan tidak boleh dicabar bagi semakan kehakiman.

"Kami juga memutuskan bahawa walaupun dakwaan berhubung salah pembahagian kawasan dan manipulasi pilihan raya tidak dipertikaikan, Daftar Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar di mahkamah untuk semakan kehakiman mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958, kata beliau.
Hakim Ong berkata panel itu juga bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa adalah penting untuk membezakan antara tugas-tugas khusus SPR di bawah  Bahagian V111 Perlembagaan Persekutuan, iaitu pelepasan tugas-tugas berikut turut melibatkan penggubalan cadangan dan pelaksanaan  mengikut budi bicaranya berdasarkan prinsip di bawah Seksyen 2 Jadual Ketiga Belas iaitu tindakan SPR tidak boleh dicabar di mahkamah.

Berhubung isu daftar pemilih, beliau berkata panel itu bersetuju dengan keputusan hakim  Mahkamah Tinggi iaitu berdasarkan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya ketepatan daftar pemilih juga tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun daftar berkenaan mungkin tidak sepenuhnya merekodkan alamat semua pengundi.

Beliau berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa maklumat yang disediakan oleh SPR dalam cadangan persempadanan semula mengikut Seksyen 4 Pemberitahuan itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah yang lebih tinggi.

Berhubung sama ada rayuan itu bersifat akademik, Hakim Ong berkata tidak perlu menyentuh isu tersebut.

Kerajaan Selangor merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 7 Dis tahun lepas yang menolak semakan kehakiman kerajaan Selangor bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Kerajaan Selangor memfailkan semakan kehakiman itu pada 19 Okt tahun lepas, menamakan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh selaku responden.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 itu, adalah tidak berperlembagaan.

Ia turut memohon perisytiharan bahawa kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pemilih terkini dalam persempadanan semula itu adalah tidak berperlembagaan.

Kerajaan Selangor diwakili peguam Datuk Dr Cyrus Das.

-- BERNAMA




No comments