Breaking News

Apple hadapi 8 saman di USA



SAN FRANCISCO, California – Firma Apple Inc menipu pengguna iPhone dengan memperlahankan kelajuan telefon pintar tersebut kononnya untuk menyembunyikan kecacatan prestasi baterinya, demikian menurut lapan saman yang dikemukakan di beberapa mahkamah persekutuan baru-baru ini.

Semua saman itu yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) termasuk di California, New York dan Illinois, bertujuan untuk mewakili berjuta-juta pemilik iPhone di seluruh AS.
Kes serupa turut difailkan di sebuah mahkamah Israel pada Isnin lepas, lapor akhbar Haaretz.

Saman tersebut menuntut sejumlah ganti rugi yang tidak didedahkan.
Firma itu mengakui buat kali pertama pada minggu lalu bahawa kemas kini untuk sistem operasi telefon pintar iPhone 6, iPhone 6s, iPhone SE dan iPhone 7 sejak tahun lalu termasuk ciri untuk 'melancarkan' bekalan kuasa daripada bateri yang sejuk, sudah lama atau kurang cas.

Telefon tanpa kemas kini tersebut akan padam tiba-tiba kerana ciri kewaspadaan itu yang direka untuk menghalang komponen daripada terbakar dan rosak, kata Apple.

Pendedahan itu menyusuli analisis pada 18 Disember lalu oleh Primate Apps yang membina aplikasi pengukuran iPhone. Aplikasi itu mengenal pasti bahawa kelajuan pemprosesan iPhone sedikit lambat dan merumuskan bahawa kemas kini pada perisian sebagai puncanya.

Salah satu saman itu yang difailkan pada Khamis lalu di San Francisco menyatakan bahawa bateri iPhone sebenarnya tidak berupaya mengendalikan kelajuan sistem pemprosesan telefon pintar itu tanpa kemas kini tersebut.

"Daripada membaiki kecacatan bateri dengan melakukan pertukaran bateri secara percuma untuk semua model iPhone yang terjejas, Apple sebaliknya cuba menyembunyikan kecacatan pada baterinya," demikian menurut saman itu.

Plaintif dalam kes tersebut diwakili oleh Jeffrey Fazio, peguam yang mewakili plaintif dalam saman berhubung isu jaminan telefon pintar Apple pada 2013.Kes itu berakhir dengan Apple bersetuju membayar penyelesaian berjumlah AS$53 juta (RM216.5 juta). – REUTERS







No comments