Breaking News

Sindiran dari Filem Musang Berjanggut

Oleh kerana Sultan dalam keadaan horny bernafsu, Puspa Wangi mengambil kesempatan itu meminta raja menjadi binatang. Kata Puspa Wangi: Ya, menjadi kuda-kuda. Dinda akan pacu di belakang kanda dan kanda mesti pusing-pusing di tempat ini sepuluh kali. Sudah cukup sepuluh kali, dinda akan menurut apa sahaja kemahuan kanda.

Bukan itu sahaja, Puspa Wangi memukul punggung Sultan dengan rotan dan meminta raja merangkak perlahan-lahan seraya membilang. Sasarannya ialah raja harus membuat sepuluh pusingan. Keesokan hari dalam keadaan aib, peti berisi musang berjanggut (Datuk Nikah Kahwin) diusung ke balai rong seri untuk diserahkan.

Yang penting untuk dinyatakan di sini: Rakyat jelata berada dalam musykil, gelap, dan serba jahil tentang konspirasi atau skandal peringkat tertinggi itu. Birokrat seperti tergambar pada watak pengawal diusir keluar supaya jangan mengetahui rahsia. Rakyat pula ditinggal serba berteka-teki.

Hak untuk mendapat maklumat dan menentukan pilihan politik dikesampingkan. Raja sekali lagi, di saat akhir mengingatkan bahawa jika ada lagi khabar angin mengenai skandal musang berjanggut itu timbul, pencetusnya akan dipotong kaki. Hanya menteri dan raja saling mengetahui aib masing-masing dan kerana malukan skandal yang sangat besar itu, raja memilih untuk turun takhta seraya menyerahkan tugas kepada Tun Nila Utama.

Titah Sultan: Ayahanda sudah tua, sudah uzur. Suda tua dan tak layak lagi memerintah sekalian rakyat. Dari itu, niat ayahanda hendak pergi ke tanah yang suci, menunaikan fardu haji.

Datuk Menteri membalas: Apa hal dengan kami semua ni Tuanku?

Sultan menjawab: Datuk-Datuk semua ambil pencen. Berhenti.

Di Pura Cendana bagaimanapun moral ahli kabinet Sultan masih tinggi. Oleh kerana masing-masing sudah tahu salah dan aib sendiri, mereka tidak saling tahan mempertahankan. Mereka tahu segan dan malu.

Apatah lagi yang menangkap kecabulan dan kebaculan mereka itu ialah seorang perempuan yang bijak. Makanya mereka memilih untuk berundur demi menyelamatkan maruah negeri.

Skandal dikambus dan untuk menjaga citra, Menteri akan berpencen dan raja akan naik haji demi memperlihatkan imej bersih. Datuk Nikah Kahwin, sang agamawan akan bertaubat nasuha.

Apa yang dibina P Ramlee dalam dramaturgi 'Musang Berjanggut' itu terang sekali. Di Pura Cendana, memang ada Puspa Wangi sebagai ejen perubah dan pejuang demokrasi.

Malahan yang jauh lebih besar adalah P Ramlee memilih seorang perempuan yang independen dan feminis sebagai simbol ini. Puspa Wangi harus diingat bukan kerabat tetapi orang kebanyakan.

Puspa Wangi datang dari luar. Memang diperlukan orang luar Pura Cendana untuk membaiki negeri kerana yang ada di situ, seperti nukilan P Ramlee, hanyalah 'betina', bukannya perempuan. Sayangnya bukan di setiap negeri terdapat protagonis persis Puspa Wangi.

Mungkin orang luar seperti Puspa Wangi akan dibantah dan dilihat sebagai ejen asing pencetus porak peranda. Malangnya, bahkan, yang lebih ramai adalah musang berjanggut yang sanggup merubah undang-undang negeri untuk menjaga tembolok dan diri sendiri. Mereka berani menipu, berbohong dan memutar alam.

Dan rakyat? Apa pentingnya rakyat? P Ramlee secara halus menyampaikan, mereka tidak signifikan. Rakyat akan kekal dalam gelapnya, dan sehingga bila pun tiada keperluan dibawa masuk berunding.

No comments