Breaking News

Panduan mendidik anak-anak


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu, 13 Safar 1436H. BUAT ANAK PANDAI !

Anak-anak adalah amanah dari Allah SWT dan Ia sebahagian dari ujian Allah SWT kepada kita hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT : "Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar." 
(QS. At-Taghabun : 15)

Sebagai ujian, Ia akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?" Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW bersabda : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia."

PENCERAHAN :
Ini mungkin disebabkan beberapa kelalaian dalam mendidik anak-anak, antaranya ialah :
1) Kurang berdoa
- Doa memohon zuriat yang baik
- Doa agar anak mengerjakan solat
- Doa agar anak patuh kepada Allah SWT
- Doa diberi zuriat yang menyejukkan mata.
- Doa supaya nama anak membawa kebaikan.

2) Banyak memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi)
Ajaran tarhib antara lain seperti :
- Menakutkan anak-anak dengan hantu.
- Menakutkan dengan tempat tinggi.
- Menakutkan dengan hutan rimba
- Menggunakan kekerasan dan paksaan.

3) Tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
- Tidak menjadualkan kegiatan harian mereka.
- Terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti saja mengikut selera ibu bapanya sendiri tanpa mengerti perasaan anak-anak.

4) Menegur anak secara negatif.
- Mengeluarkan kata-kata kasar dan makian kepada anak-anak. (terutama sewaktu marah). 
- Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau dengan anak orang lain ( lagi teruk..Kita sendiri tidak suka jika dibanding-bandingkan oleh anak kita dengan ibu bapa lain yang lebih hebat dari kita)

5) Memberi di
dikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual. Pendidikan intelektual lebih dipentingkan daripada pendidikan rohani. Pendidikan intelektual biasanya diberikan posisi yang lebih besar. Sehingga tidak terjadi keseimbangan. Sanggup bayar RM400.00 - RM500.00 untuk kelas tuisyen BI dan Math, tapi merungut waktu nak bayar RM10.00 untuk kelas mengaji Al-Quran anak-anak. "Alaa.. Ustaz tu kan ikhlas... keretanya guna air paip je untuk bergerak...."

6) Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak. Rasulullah SAW kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.anha : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Hassan atau Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai 10 orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian bersabda : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."' (HR: Bukhari dan Muslim)

7) Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang menarik.
Orang tua tidak menunjukkan cara berpakaian yang baik dan sesuai syara bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara seenaknya atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak. Contoh, Si Bapa suka tak pakai baju, Si Ibu pula 24 jam berkemban memanjang... Itu yang produktif tu!

8) Susunan rumah tangga yang tidak baik.
Ini mengakibatkan anak-anak terbawa-bawa sehingga besar. Contoh, tidak memanggil sesama adik-beradik mengikut pangkat umur mereka. Membiarkan mereka memanggil nama sahaja kepada abang atau kakak mereka.

9) Membenarkan orang yang tidak baik perilaku, kesopanan dan akhlaknya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan rakan kita sendiri ataupun rakan anak-anak. Apabila kelalaian ini terjadi, maka akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang dalam pertumbuhan. Bila kita biarkan, mereka dapat signal yang salah bahawa perlakuan seperti itu diterima dan tak salah.

10) Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton di TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media hari ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syara' dan perbualan yang dapat merosak akhlak dan pemikiran anak-anak. Contoh, pakaian pelakon wanita dalam drama sinetron Indonesia dan Filipina, cukup untuk bukan sekadar si anak, malah si bapa untuk melekat dihadapan TV !

11) Terlalu bergantung kepada pembantu rumah ('Bibik Indon') untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibu bapa kitalah yang akan diminta pertanggung jawaban di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu, sepatutnya kita jadikan satu priority utama untuk memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam yang sempurna. Bibik tu tak akan kena soal bila anak kita rosak satu hari nanti...

(BUKU CUIT-CUIT USTAZ KAY'S SUDAH BERADA DI PASARAN. SATU KOMPILASI HIMPUNAN CCUK EDISI PERTAMA TERBAIK!)

KESIMPULAN :
Jangan pandai 'buat' anak sahaja. Pandailah juga untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang untuk anak-anak kita juga. Ingat! Kita menjadi ibu bapa bukan kerana kita ada anak, tetapi jadilah ibu bapa kerana Allah. Wallahu a'lam - Selamat 'buat dan jaga' anak ! Ukay's (UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

No comments