Breaking News

Worldwide mahu bina insinerator

Worldwide mahu bina insinerator
Noordin
WORLWIDE Holdings Bhd (Worldwide) bersedia meneroka teknologi insinerator bagi menguruskan sisa pepejal sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan tempat pelupusan sampah di Selangor selain menjana tenaga elektrik yang lebih murah kepada penduduk negeri itu.

Pengerusi Worldwide, Datuk Noordin Sulaiman Abdul Rahman berkata, kumpulan itu merancang membina sebuah kilang bagi menukarkan sisa pepejal kepada tenaga elektrik dianggar bernilai RM600 juta hingga RM1 bilion di Selangor, melalui perkongsian teknologi dengan syarikat berpusat di Argentina.

Menurutnya, dua lokasi telah dikenal pasti untuk pembinaan kilang itu namun masih menjalankan kajian mendalam sebelum membuat keputusan akhir.

"Perkongsian ini juga memastikan Worldwide bersedia jika diberikan kontrak pembinaan insinerator di Selangor,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan IMPSA Malaysia Sdn Bhd di Shah Alam, semalam.

IMPSA Malaysia adalah pengeluar teknologi tenaga hidro terkemuka dan anak syarikat Industrias Metalurgicas Pescarmona SA di Argentina yang akan membekalkan teknologi pembinaan insinerator kepada Worldwide.

Beliau menambah, projek kilang sisa kepada tenaga itu selari dengan pelan pembangunan segmen alam sekitar kumpulan itu.

Segmen alam sekitar Worldwide menyumbang 30 peratus kepada keuntungan operasi kumpulan itu, iaitu kedua terbesar selepas segmen hartanah.

Sementara itu, Pengerusi IMPSA Malaysia, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, perkongsian IMPSA bersama rakan kongsinya, syarikat pembina insinerator, Hera Group dari Itali dengan Worldwide akan memberi manfaat kepada industri tersebut di Malaysia.

“Melihat perkembangan industri ini di Malaysia, kami memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan Worldwide untuk menguruskan sisa pepejal dengan kaedah mesra alam selain menjana tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Worldwide kini menguruskan 4,000 tan sisa pepejal sehari di lima tempat pelupusan sampah di seluruh Selangor.

Teknologi insinerator membolehkan sisa pepejal dibakar dan haba daripada pembakaran itu ditukar menjadi tenaga elektrik yang boleh disalurkan ke pencawang elektrik dalam negara.

Menurut wakil Hera Group, kilang dengan kapasiti 1,000 tan sisa pepejal boleh menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 30-35mW setiap jam yang dapat disalurkan kepada 100,000 buah rumah.

Sebelum ini, Selangor merancang untuk membina sebuah insinerator di Kampung Broga, Semenyih namun dibatalkan pada 2007.

Sumber: Sinar Harian

No comments