Breaking News

Tragedi tanah runtuh di Ulu Langat

Moga roh mereka yang pergi akan dirahmati Allah hendaknya. Amin

Petikan berita dari Berita Harian adalah sperti di bawah.
Link: Berita Harian
--------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR: Sepuluh penghuni rumah anak yatim maut dan tujuh lagi masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh membabitkan kediaman Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang  itu membabitkan 25 penghuni pusat berkenaan dan sehingga jam 11.00 malam tadi, sembilan disahkan selamat.

Hujan lebat yang turun sejak jam 5.30 petang menyukarkan operasi mencari dan menyelamat untuk membawa keluar baki sembilan penghuni termasuk seorang kakitangan pusat itu yang belum ditemui dan dipercayai berada di bawah timbunan runtuhan tanah serta bangunan dewan serba guna.
Penduduk dan pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa pertama yang hidup jam 3 petang. Dalam tempoh sejam selepas itu, mereka menemui tiga lagi mangsa terselamat.

Mayat mangsa pertama ditemui jam 4.25 petang diikuti mangsa kedua jam 5.06 petang dan mayat ketiga jam 6.27 petang. Empat lagi mangsa hidup berjaya dikeluarkan termasuk yang ke sebelas pada jam 7.40 malam tadi.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Kajang dan Hospital Ampang.

Dua daripada mangsa yang terbunuh adalah pasangan adik beradik Mohd Zaim Azahari, 14, dan Mohd Azed Azahari, 10,
Seramai 500 anggota penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), St John Ambulans, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) meneruskan operasi dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang turut berada di tempat kejadian mengakui gerakan mencari sukar disebabkan hujan lebat serta masih berlaku pergerakan tanah yang berkemungkinan menyebabkan kawasan itu runtuh sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan hampir 30 penghuni bersama guru berada di sebuah dewan serba guna berhampiran blok penginapan mereka untuk menjalani latihan penuh persembahan nasyid sempena satu majlis serahan bantuan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Kediaman itu menempatkan tiga blok bangunan termasuk penginapan tiga tingkat, surau dan dewan serba guna yang dijadikan tempat kuliah serta dewan makan.

Akibat kejadian itu, sebahagian bangunan pertama blok hadapan musnah teruk dan runtuh di bahagian kanan manakala satu lagi bangunan tidak terjejas.

Beberapa penduduk di situ mendakwa mereka mendengar bunyi dentuman dan runtuhan sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggunakan khidmat helikopter unit udara PDRM bagi membantu mengesan mangsa serta meninjau keseluruhan kawasan kejadian.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Habsah, berkata kawasan di sekitar Batu 14 itu dikelilingi bukit serta mempunyai banyak anak sungai yang menyebabkan mudah berlaku runtuhan atau pergerakan bawah tanah.

Katanya, kawasan kejadian terletak di antara Sungai Gahal dan Sungai Congkak yang dikatakan antara punca pergerakan tanah mendap secara perlahan sebelum runtuh petang semalam.

“Kawasan ini memang menjadi kawasan tadahan air bawah tanah. Jika hujan lebat lebih 30 minit, pasti akan berlaku banjir kilat kerana tanah di situ sudah banyak air,” katanya.

No comments